Monday, September 17, 2012

Menghormati Guru :)


Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diriterhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Keberkatan Belajar


TIPS BELAJAR
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.
Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.
Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.
2) Disiplinkan diri.
Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.
Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.
Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.
3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.
Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.
Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.
4) Utamakan seruan Allah S.W.T.
Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:
"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."
Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.
5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.
Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.


.............................................................
Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T.Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).
Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.
Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.

Sumber dari :


Sunday, September 9, 2012

Majlis Pemberian Alat Tulis Untuk Calon UPSR

Slm.Sebentar tadi, berlangsung majlis pemberian alat tulis untuk seramai 10 calon UPSR SK Ngee Heng. Semua calon bersalaman dengan semua guru yang hadir dan mereka telah diberi alat tulis. All the best and good luck!!!!